fbpx
Masshead02
Keep Yourself up to Date
Business Tips for SMEs

SME Bank Capai Sasaran Jadi IKP Patuh Syariah

news001 big KUALA LUMPUR 19 Jun - SME Bank kini telah mencapai sasarannya untuk menjadi sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) patuh syariah.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, setakat ini portfolio kewangan Islam SME Bank mencapai 86.5 peratus bersamaan dengan RM4.31 bilion.

Katanya, SME Bank menyasarkan untuk mencapai 90 peratus portfolio kewangan Islam menjelang Disember 2015 berbanding sekitar 15 peratus pada peringkat awal penubuhannya pada Oktober 2005.

“Pihak pengurusan bank mengambil pendekatan menyeluruh dalam merancang dan melaksanakan transformasi ini dengan fokus utama memastikan kakitangan mendapat pendedahan dan pengalaman yang secukupnya bagi menguruskan portfolio kewangan Islam SME Bank.

“Berpandukan kepada faktor ini, pihak bank melalui anak syarikatnya Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), telah bekerjasama dengan Institut Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (IBFIM) untuk membangun dan melaksanakan program latihan Chartered Islamic Development Banker (ChIDB),” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini. Seramai 487 kakitangan SME Bank telah lulus peringkat pertama Certified Islamic Development Banker (CIDB) dan seramai 202 kakitangan telah lulus peringkat kedua Professional Islamic Development Banker (PIDB).

Daripada jumlah itu, seramai 296 kakitangan SME Bank menjadi kumpulan pertama yang menamatkan program berkenaan.

Mohd. Radzif berkata, sebagai program pertama seumpamanya dalam industri, ChIDB disasarkan untuk melahirkan pegawai dan eksekutif terlatih dan cekap yang diperlukan dalam industri kewangan Islam.

“Program peningkatan kemahiran dan pendedahan ini akan diadakan secara berterusan. Dalam masa sama, pihak bank juga memberi tumpuan terhadap pejabat pentadbirannya bagi memastikan kelancaran proses peralihan bank menjadi ke IKP patuh syariah sepenuhnya,” katanya.